Friday, July 25, 2008

Oleh kerana harga beras dan minyak sudah meningkat dengan sangat ketara sekarang, ramai peniaga dan penjual makanan telah menggunakan kesempatan ini untuk menaikkan harga makanan mereka. Kalau harga yang dinaikkan sedikit, tidak mengapalah juga kerana kita juga memahami kepentingan mereka melakukan sedemikian agar tidak mengalami sebarang kerugian.

Namun, ada segelintir penjual yang menyalahgunakan situasi ini untuk menaikkan harga sehingga ianya begitu ketara! Mana tidaknya, sepinggan nasi ayam yang dulu dijual pada harga $3.00 dinaikkan terus hingga $4.00.

Sebagai pembeli, kita tidak bolehlah mengadakan demonstrasi atau bertengkar dengan penjual mengenai harga makanan yang naik terlalu ketara kerana walau apa terjadi sekalipun, itu adalah keputusan penjualnya untuk meletakkan harga. Namun, apa yang kita boleh lakukan ialah mengorak langkah keluar dari restorannya dan terus ke pasar untuk membeli barang pasar, pulang ke rumah dan mula memasak.

Tidak boleh disangkal bahawa dengan memasak makanan kita sendiri, kita akan dapati bahawa kita dapat menjimat wang. Apa tidaknya, dengan jumlah wang yang sama, kita boleh memasak makanan tiga kali ganda dengan apa yang kita dapat jika kita makan di luar.

Oleh itu, tidak kiralah kita wanita atau lelaki, mari ke dapur dan belajar memasak!

No comments: